LKIM perlu mempercepat mesin PDA
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) harus mempercepatkan proses pemasangan mesin PDA di tiga stesen Petronas di Kunak, Lahad Datu dan Semporna, seperti yang telah dijanjikan sejak sekian lama.
Ketiadaan mesin itu telah mengakibatkan golongan nelayan miskin di Kunak yang mendapat kemudahan e-petrol, sukar membeli bahan api itu dan terpaksa mendapatkannya dari-daerah berdekatan.
Bagi Lahad Datu dan Semporna pula, setakat ini hanya terdapat masing-masing satu mesin PDA di stesen minyak bukan Petronas di daerah-daerah terbabit, namun ia memberi masalah kepada nelayan-nelayan terlibat jika mesin tersebut mengalami kerosakan.
Perkara ini telahpun dibawa beberapa kali. Ia sepatutnya tidak dilengah-lengahkan kerana subsidi ini telahpun diperkenalkan kerajaan sejak 2006. Saya harap ia dapat segera dipasang.
Saya telah membawa perkara ini kepada Pegawai Wilayah LKIM Tawau Hasbie Mokti, ketika mengunjungi pegawai itu di pejabatnya di sini.
Saya diberitahu oleh Hasbie bahawa baru-baru ini pihak yang dipertanggungjawabkan memasang mesin PDA berkenaan telahpun pergi ke tiga-tiga daerah tersebut, namun pemasangan mesin tidak dapat dilakukan kerana kesemuanya mengalami sedikit kerosakan.
Bagaimanapun saya rasa perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan kerana mesin-mesin tersebut seharusnya diperiksa dahulu sebelum dibawa ke daerah-daerah terlibat untuk dipasang.
Dalam pertemuan itu, saya juga turut menyuarakan mengenai isu bom ikan di kawasan Kunak dan Semporna, yang wajar dibanteras habis-habisan.
March 4, 2009